« Back Pelancaran Rasmi di Pulau Pinang, Toshiba Medical Systems Manufacturing Asia Sdn. Bhd.

Pulau Pinang, Malaysia – Toshiba Medical Systems Manufacturing Asia Sdn. Bhd. (TMMA), sebuah anak syarikat Malaysia milik penuh Toshiba Medical Systems Corporation telah dilancarkan secara rasminya hari ini. Berpusat di Bayan Lepas, Pulau Pinang, anak syarikat ini bakal muncul sebagai pusat pembuatan sistem pengimejan diagnostik pertama di Malaysia. Kemudahan ini juga merupakan pusat pembuatan sistem pengimejan diagnostik ketiga Toshiba di luar negara Jepun, selain Dalian, China, dan Campinas, Brazil, dan bakal memenuhi permintaan daripada pasaran global.

Kilang tersebut telah dirasmikan oleh Y.A.B Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dengan disaksikan Encik Ryuji Noda, Konsul-Besar Jepun di Pulau Pinang, Encik Satoshi Tsunakawa, Naib Presiden Kanan Korporat, Toshiba Corporation dan Presiden & CEO, Healthcare Company; Encik Fumio Otani, Naib Presiden Korporat, Wakil Korporat-Asia, Toshiba Corporation dan Pengarah Urusan, Toshiba Asia Pacific Pte. Ltd.; dan Encik Hirokazu Noguchi, Pengarah Urusan, Toshiba Medical Systems Manufacturing Asia Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai inisiatif terbaru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Lim Guan Eng berkata “Pulau Pinang berusaha keras untuk menjadi contoh bandar antarabangsa dan bandar pintar di mana ia menjadi lokasi pilihan pelabur dan telah berkembang dengan pesatnya dalam tahun-tahun lepas untuk menjadi negeri perindustrian maju.”

TMMA, yang mula beroperasi Disember 2014, kini mengeluarkan sistem diagnostik ultra bunyi, manakala pembuatan papan pendawaian bercetak akan dimulaan pada Mac 2015. Semua talian pengeluaran akan beroperasi sepenuhnya mulai Julai 2015.

Hasil selidik menunjukkan, pasaran pengimejan diagnostik global dijangka mencecah AS$27 bilion menjelang 2018, berkembang sebanyak 4.7% Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (Compound Annual Growth Rate (CAGR)). Kadar pertumbuhan CAGR di rantau Asia Pasifik dijangka paling tinggi pada kadar 5.9%. Kajian terkini oleh Frost & Sullivan merumuskan bahawa keseluruhan pasaran penjagaan kesihatan ASEAN dijangka mencecah AS$150 bilion menjelang 2017.

Encik Satoshi Tsunakawa berkata “Bisnes penjagaan kesihatan Toshiba, sepanjang sejarah 100 tahunnya, telah mengeluar dan membekal sebarisan besar teknologi pertama dunia, dijayakan oleh nasihat dan sokongan berharga yang diterima daripada para pelanggan. Kami sangat gembira kerana bakal membekalkan sistem-sistem Ultra Bunyi yang terkini melalui tapak pengeluaran kami di Malaysia.”

Penubuhan TMMA di Malaysia mengukuhkan lagi komitmen Toshiba untuk mengembangkan pembabitannya di Asia Tenggara. Pemilihan Malaysia sebagai tapak pengeluaran peralatan penjagaan kesihatan selaras dengan fokus negara ini yang menjadikan penjagaan kesihatan sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), seperti yang diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 lalu. Menjelang tahun 2020, NKEA Penjagaan Kesihatan disasarkan menjana RM35.5 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) di samping menghasilkan 181,000 pekerjaan baharu. Sejajar dengan permintaan global yang kian meningkat pesat terhadap kemudahan penjagaan kesihatan bermutu tinggi, Malaysia dijangka menjadi lokasi ideal sebagai hab logistik global yang boleh menjangkau pasaran Asia, Eropah dan Timur Tengah.

TMMA pada mulanya akan mengupah 114 orang pekerja, dan menjangkakan penambahbaikan dalam sistem pengeluarannya akan menjana gunatenaga yang disasar mencecah 200 orang menjelang 2020.

Mengenai Toshiba Medical Systems Corporation
Toshiba Medical Systems Corporation ialah pembekal sistem pengimejan diagnosis perubatan dan penyelesaian perubatan komprehensif yang terkemuka di dunia, seperti sistem CT, X-ray dan vaskular, ultrasound, perubatan nuklear dan MRI, serta sistem maklumat untuk institusi perubatan. Toshiba Medical Systems Corporation telah menyediakan produk perubatan selama lebih 80 tahun. Toshiba Medical Systems Corporation ialah subsidiari milik penuh Toshiba.

Lawati laman web Toshiba Medical Systems Corporation di http://www.toshibamedicalsystems.com/

Mengenai Toshiba
Toshiba Corporation, sebuah syarikat Fortune Global 500, menyalurkan keupayaan bertaraf dunia dalam produk dan sistem elektronik dan elektrik termaju kepada lima kumpulan perniagaan strategik: Tenaga & Prasarana, Penyelesaian Komuniti, Sistem & Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan, Peranti & Komponen Elektronik, dan Produk & Perkhidmatan Gaya Hidup. Berpandukan prinsip Komitmen Asas Kumpulan Toshiba, “Komited pada Insan, Komited pada Masa Depan”, Toshiba menggalakkan operasi global ke arah “Pertumbuhan Melalui Kreativiti dan Inovasi”, dan menyumbang ke arah mencapai dunia di mana manusia boleh hidup dengan selamat, sejahtera dan selesa di mana-mana sahaja.

Ditubuhkan di Tokyo pada 1875, Toshiba pada hari ini merupakan pusat rangkaian global bagi 590 buah syarikat disatukan dengan lebih 200,000 orang pekerja di seluruh dunia, dan mencapai jualan tahunan melebihi 6.5 trilion yen (US$63 bilion).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Toshiba, sila layari www.toshiba.co.jp/index.htm

###

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: 

Toshiba Asia Pacific Pte. Ltd.
Kaori Hiraki, kaori.hiraki@toshiba.co.jp
Jessica Oh, jessica_oh@tasia.toshiba.co.jp
Tel: +65 6305 5517

Dikeluarkan bagi pihak Toshiba oleh GO Communications Sdn Bhd:
Leow Kuan Ting, kuanting@gocomm.com.my
Asha C. Devi, asha@gocomm.com.my
Tel: +603 7710 3288
Faks: +603 7710 3289

Press Release Available in these languages (PDF) »

2024